Sungai Lembing (El Dorado Timur)

Kaedah pengangkutan utama semasa zaman kegemilangan lombong ini ialah sebuah kapal stim yang disediakan syarikat, yang membolehkan penduduk pekan lombong ini ke Kuantan menerusi Sungai Kenau.

Sungai Lembing yang terletak 42 kilometer (km) di barat laut Kuantan, Pahang satu ketika dahulu merupakan pengeluar utama bijih timah.

Nama Sungai Lembing tercatat dalam sejarah negara selepas pihak British meneroka kawasan itu pada tahun 1888 dan menemui rizab bijih timah yang kaya setanding dengan lombong-lombong bawah tanah di Cornwall, England.

Ekoran penemuan tersebut, dan dengan kebenaran daripada Sultan Pahang semasa itu, Pahang Consolidated Company Ltd (PCCL) yang beribu pejabat di London dan diperbadankan pada 1905 ditawarkan pajakan 77 tahun untuk mengusahakan lombong tampang di Sungai Lembing.

Walaupun lombong tampang berbahaya dan mahal untuk dikendalikan, pihak British tetap meneruskan memandangkan rizab timah di situ boleh bertahan sehingga 100 tahun.

Lombong itu beroperasi selama lebih 80 tahun sehingga harga pasaran dunia bijih timah jatuh teruk pada 1986 dan memaksa penutupannya.

Digelar El Dorado Timur, Sungai Lembing merupakan tempat terletaknya lombong bawah tanah yang terbesar, terpanjang dan terdalam di dunia. Lombong Sungai Lembing terdiri daripada tiga lombong bawah tanah dengan Lombong Myah pada tahap kedalaman 700 meter di bawah permukaan bumi merupakan yang paling dalam.

Di sini, terdapat 14 peringkat terowong, setiap satu sepanjang 500 meter. Jarak di antara setiap peringkat terowong ialah 100 meter.

Sementara itu, terowong-terowong dalam lombong kedua, Taibeto, adalah sedalam 500 meter dan sepanjang 332 meter dengan jarak 30 meter di antara setiap terowong. Lombong ketiga, Lombong Gakak masih digunakan oleh pelombong-pelombong bebas sehingga hari ini.

Begitu hebat industri bijih timah pada masa itu sehingga hasil daripada bijih timah yang dihantar balik ke England dikatakan dapat menyelamatkan tanah jajahan British daripada muflis.

Memandangkan ia begitu penting, pihak British sudah pasti menjaga dengan baik tenaga kerja tempatan seramai 2,000 orang, dengan setiap seorang menerima gaji lumayan bebas cukai sehingga RM500 sebulan.

Syarikat itu turut menyediakan kemudahan seperti sekolah, padang permainan, hospital dan sebuah pawagam yang menayangkan filem-filem terbaru.

Semasa sebahagian besar daripada penduduk negara ini bergantung kepada telaga dan lampu minyak tanah, penduduk di sini menikmati tenaga elektrik percuma dan bekalan air bersih.

Pekerja yang menetap di sini, yang kini dalam lingkungan usia 70-an, masih ingat ketika di zaman mewah itu, mereka tidak pernah peduli pun untuk mematikan lampu kediaman mereka.

Hampir kesemua produk yang terdapat di England boleh dibeli oleh pelombong di sini, melalui kredit di gedung syarikat itu. Sebuah pos kawalan keselamatan didirikan di pintu masuk utama untuk mengawal kemasukan orang luar.

Kaedah pengangkutan utama semasa zaman kegemilangan lombong ini ialah sebuah kapal stim yang disediakan syarikat, yang membolehkan penduduk pekan lombong ini ke Kuantan menerusi Sungai Kenau.

Bagaimanapun, pekan itu ditimpa beberapa kejadian malapetaka yang berakhir dengan penutupan lombong berkenaan.

Pada 1921, hampir kesemua rumah kedai di situ musnah dalam satu kebakaran. Lima tahun kemudian pekan itu dilanda banjir.

Semasa pendudukan Jepun dari 1941 hingga 1945, lombong itu dengan sengaja dibanjirkan dengan air oleh pihak British untuk menghalang pihak Jepun daripada menggunakannnya.

Ini disusuli dengan pemberontakan komunis dan Darurat pada 1950-an dan 1960-an, yang menyebabkan kesengsaraan penduduknya.

Akhirnya, kejatuhan teruk harga bijih timah dunia menyebabkan lombong itu ditutup dan pekan Sungai Lembing tidak lagi terkenal seperti sebelumnya.

Hari ini, rumah banglo yang pada satu ketika dahulu merupakan kediaman pengurus besar lombong itu, diubah menjadi muzium yang mesti dikunjungi. Muzium itu mempamerkan peralatan lombong dan menayangkan video mengenai sejarah lombong dan zaman kegemilangannya.

Beberapa bahagian terowong lombong itu telah diperkukuh untuk membolehkan pelawat menikmati pengalaman berada di dalam lombong bawah tanah, tetapi malangnya, sebahagian besar daripada peralatan dan jentera yang terbaik pada zamannya sudah tiada lagi.

Terdapat beberapa jambatan gantung yang menghubungkan kampung-kampung merentasi Sungai Kenau ke pekan lombong itu, dan di bahagian tertentu, pekan itu secara semula jadi boleh menimbulkan rasa seram pengunjung. Malah ia sesuai dijadikan latar belakang bagi filem seram.

Selain daripada lombong dan muzium, Sungai Lembing juga mempunyai pelbagai tarikan semula jadi seperti bukit bukau, sungai dan air terjun. Sebahagian daripadanya ialah:

Bukit Panorama

Terletak tidak jauh dari lokasi lombong. Bukit Panorama dipenuhi pelawat pada hujung minggu dan mereka boleh mendaki bukit itu untuk menikmati pemandangan matahari terbit di celah-celah bukit-bukau yang menghijau.

Taman Alam Bukit Tapis

Gunung Tapis setinggi 1,512 meter yang terletak 16 km dari pekan lombong itu menjadi tumpuan mereka yang meminati aktiviti treking.

Taman itu juga merupakan tempat pilihan peminat-peminat 4WD kerana bentuk muka buminya yang mencabar dan tempat-tempat untuk menangkap ikan. Bagi mereka yang mencari keseronokan, aliran deras sungai menawarkan peluang untuk menyusuri jeram sungai.

Air Terjun Pelangi

Dengan ketinggian 200 m, air yang jatuh memancar kelihatan seperti kabus dan dalam proses itu, kilauan warna pelangi terbentuk, lazimnya ketika matahari terbit.

Kampung Mas

Terletak lima km dari Sungai Lembing, penduduk di sini terdiri daripada kaum Orang Asli. Mereka kini terlibat dalam aktiviti menoreh getah dan menternak lembu untuk mencari rezeki dan sering kali juga memasuki hutan untuk menerokai dan membawa keluar khazanahnya.

Pasir Kubur

Nama tempat ini berasal daripada sebuah kubur yang terletak berhampiran tebing sungai yang berpasir. Ini merupakan tapak kem yang popular dan dipenuhi orang ramai pada hujung minggu yang datang untuk berkelah dan mandi manda di sungai itu.

Gua Charas

Terletak empat km dari Sungai Lembing, Gua Charas berada di kaki Bukit Pancing setinggi 1,000 meter.

Anak-anak tangga yang curam membawa pengunjung ke kuil Buddha di dalamnya.

Terdapat beberapa batu yang bentuknya seperti berhala Buddha, mengelilingi sebuah patung Buddha berbaring sepanjang sembilan meter. Naik lagi tangga, anda akan menikmati pemandangan indah bukit-bukau di sekitar dan kecantikan memukau Sungai Lembing.

Taman Rusa Sungai Jin

Kira-kira lima km dari Sungai Lembing, haiwan ini pada asalnya dibawa dari Mauritius dan Australia dan dipelihara di sini untuk dagingnya. Kemudahan seperti sebuah anjung memerhati setinggi 7.5 m disediakan dan sebuah kandang di mana pelawat boleh mendekati serta memberi makan rusa. –

Sumber : Bernama

4 Responses to “Sungai Lembing (El Dorado Timur)”

  1. there’s one place called Bukit Panorama….very suitable for sunrise view.
    but u should wake up early morning around 4 am and start climbed to the peak. if u’re lucky….u can get the miracle view that u can ever forgot…..:)

  2. Shanmugam Mannar Says:

    Need to know more about Gua Charas. How to go there?

  3. saya telah melawat sg lembing pd ct sklh yg lepas…..mmg menyeronokkan….

  4. saya telah melawat sg lembing pd ct sklh yg lepas…..mmg menyeronokkan….dan sy sgt seronok sbb dapat sampai ke puncak bukit panorama….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: